Langkau ke kandungan
Simply SirahSirah Bukan Sekadar Cerita

Kajian

Beza Syam dan Syria

Syam dalam kitab sirah bukan Syria moden. Ia wilayah besar dari Furat hingga al-Arish, dibahagikan kepada beberapa Jund — Syria hari ini hanya cebisannya.

Penulis
Addien Abdul Kadir
Diterbitkan
Bacaan
3 minit
Rujukan
7

Perkataan Syam selalu ditemui dalam kitab sirah dan sejarah klasik. Sebahagian orang menyangka Syam ialah Syria moden, bahkan ada yang menterjemah Syam sebagai Syria. Pada saya, terjemahan begini tidak tepat dan jauh daripada realiti sejarah.

Sempadan Syam menurut ahli geografi klasik

Menurut Imam Yaqut al-Hamawi, panjang wilayah Syam bermula dari Sungai Furat di timur (kini meliputi Iraq, Syria dan Turki) hingga al-Arish di Mesir berhampiran Semenanjung Sinai — kira-kira 30 hari perjalanan. Lebarnya dari Gunung Tayyi’ di utara Arab Saudi, berhampiran sempadan Jordan, hingga ke Laut Rom (Mediterranean) yang merangkumi pantai Syria, Lubnan dan Palestin — sekitar 20 hari perjalanan. 1Mu'jam al-Buldan 3/312

Mengikut sempadan negara moden, Syam meliputi Syria, Lubnan, Jordan, Palestin, sebahagian selatan Turki, sebahagian Arab Saudi dan sebahagian kecil Mesir (Sinai).

Jund: pembahagian wilayah Syam

Abu Ishaq al-Istakhri menyebut Syam terdiri daripada Jund Filistin, Jund al-Urdunn, Jund Hims, Jund Dimasyq dan Jund Qinnasrin, serta wilayah al-‘Awasim dan al-Thughur. Sebahagian ahli geografi menyebutnya Ajnad. 2al-Masalik wa al-Mamalik al-Istakhri 1/56

Jund bermaksud wilayah ketenteraan — setiap zon mempunyai tenteranya sendiri yang digaji di zon itu. Konsepnya seperti negeri hari ini yang mempunyai pasukan polis dan askar sendiri. 3Mu'jam al-Buldan 1/103 Dalam setiap Jund pula ada banyak bandar dan daerah.

Syria hari ini dahulu di mana?

1. Dimasyq (Damsyik)

Negeri paling terkenal dan megah dalam Syam. Imam Safiyyuddin al-Qati’i menggambarkan Damsyik, ibu kota Syam yang digelar “Syurga Syam”, sebagai kota yang memukau dengan binaannya, kedudukan strategik dan kekayaan alamnya — dikelilingi pohon rendang dan buah-buahan, dengan air mengalir melalui rumah, pasar, masjid dan sekolah. 4Marasid al-Ittila' 2/534

Wilayah Damsyik dahulu jauh lebih luas. Ibn Khurradadhbih menyebut zon Damsyik pada zamannya membentang hingga Beirut (Lubnan hari ini), Busra (bandar dagang terkenal zaman Nabi ﷺ), Amman (Jordan) hingga kawasan al-Ghawr di sempadan Jordan–Palestin. 5al-Masalik wa al-Mamalik Ibn Khurradadhbih 1/77

Sebagai ibu kota, penduduknya rencam: kerabat raja Ghassan, kabilah dari Yaman dan keturunan Bani Umayyah — samalah seperti Selangor dan Kuala Lumpur yang ramai penduduknya berasal dari negeri lain.

2. Hims (Homs)

Pesaing utama Damsyik dan juga dahulunya lebih luas. Menurut al-Ya’qubi, Hims pada zamannya membentang hingga Talminis, Tadmur (Palmyra) dan pantai Jablah. Beliau menegaskan penduduk Hims semuanya dari kaum Yaman — Tayyi’, Kindah, Himyar, Kalb, Hamdan dan lain-lain. 6al-Buldan al-Ya'qubi 1/162

3. Qinnasrin

Disebut juga Qinnasrun. Halab (Aleppo) ialah pusat utamanya. Luasnya dari Halab hingga Manbij ke arah Iraq, dan hingga Antakiyah (Antakya/Hatay, Turki hari ini). Menurut Ibn Hawqal, Qinnasrin terkenal dengan kubu pertahanan yang sukar ditembusi, tempat mandian, rumah tumpangan, dan kos sara hidup serta makanan yang murah. 7Surah al-Ardh Ibn Hawqal 1/177

Ada lagi wilayah lain yang disebut ulama kerana sempadan sentiasa berubah mengikut pemerintah. Tiga negeri ini sudah memadai untuk gambaran Syria zaman dahulu.

Penutup

Ini belum lagi keseluruhan Syam — gabungan semua Jund, masing-masing tidak kurang besar. Syria hari ini hanya cebisan kecil wilayah gergasi Syam yang pernah menggegarkan dunia.

Saya suka menggambarkan Syam sebagai “Syria Raya”, seperti Tanah Melayu yang dahulu digelar Melayu Raya atau Alam Nusantara — membentang dari Malaysia, Singapura, Borneo, Brunei, Indonesia, Papua hingga Filipina.

Walaupun Syria hari ini sudah mengecil, tanah ini akan terus dikenang sebagai tanah para Nabi, tanah pertembungan tamadun, agama dan budaya. Semoga Syria kembali bangkit dan makmur sebagaimana gemilangnya Damsyik, Hims dan Halab suatu masa dahulu.

Rujukan

  1. Mu'jam al-Buldan 3/312
  2. al-Masalik wa al-Mamalik al-Istakhri 1/56
  3. Mu'jam al-Buldan 1/103
  4. Marasid al-Ittila' 2/534
  5. al-Masalik wa al-Mamalik Ibn Khurradadhbih 1/77
  6. al-Buldan al-Ya'qubi 1/162
  7. Surah al-Ardh Ibn Hawqal 1/177

Nombor jilid dan halaman mengikut cetakan yang disenaraikan dalam kaedah rujukan. Nombor hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim mengikut penomboran Fu'ad Abd al-Baqi / Fath al-Bari.

Bacaan berkaitan

Kajian

Maksud Nama Lu'ay dalam Perspektif Sirah

Lu'ay ialah leluhur Nabi ﷺ. Ulama bahasa dan sirah memberi tiga maksud bagi nama ini — kuat dan tangkas, tenang dan berhati-hati, atau panji kepimpinan.

Addien Abdul Kadir 7 rujukan

Kajian

Buraq dalam Peristiwa Israk Mikraj

Apa yang hadis sahih dan ulama sirah sebut tentang rupa Buraq — saiz, warna, kelajuan dan sayap.

Admin al-Balazuri 3 rujukan