Benarkah Nabi ﷺ Ketika Berperang Tidak Bertempur dan Hanya Berdoa?
Lima kesaksian sahabat menunjukkan Nabi ﷺ berada paling hampir dengan musuh, mara dahulu, bertempur dengan tombak, panah dan batu, dan tidak berundur di Hunain.
Ada dakwaan bahawa Nabi ﷺ ketika berperang seakan tidak bertempur, tidak menghunus senjata, bahkan hanya berada di belakang atau di dalam khemah. Mungkin ia sabqul lisan. Saya sekadar berkongsi data sirah supaya kita sama-sama belajar.
Ilmu sirah sangat luas. Semakin dikaji, semakin banyak hal tentang Nabi ﷺ yang tidak pernah kita tahu — aspek Baginda bertempur salah satunya.
Betul, secara umum sebelum berperang Nabi ﷺ berdoa. Tetapi bukan sepanjang peperangan. Berikut lima momen yang disaksikan para sahabat.
1. Nabi ﷺ melawan musuh dan melindungi sahabat
Biasa kita dengar sahabat melindungi Nabi ﷺ. Tetapi itu bukan mutlak. Dalam beberapa keadaan, Nabi ﷺ yang melindungi sahabat.
Ali bin Abi Talib bersaksi bahawa ketika Perang Badar memuncak, ramai sahabat berlindung di belakang Nabi ﷺ. Baginda yang paling hampir dengan musuh dan paling keras bertempur. Ini disebut Ibn Sayyid al-Nas dalam Uyun al-Athar, dan lebih awal oleh Qadhi Iyadh dalam al-Syifa. 1Uyun al-Athar 2/399
كنا إذا حمي البأس واحمرت الحدق اتقينا برسول الله صلى الله عليه وسلم، فما يكون أحد أقرب إلى العدو منه، ولقد رأيتني يوم بدر ونحن نلوذ برسول الله صلى الله عليه وسلم، وهو أقربنا إلى العدو، وكان من أشد الناس يومئذ بأسا
Makna yang serupa juga diriwayatkan oleh al-Bara’ bin Azib dalam Sahih Muslim. 2Sahih Muslim no. 1776
2. Nabi ﷺ yang mara dahulu — kesaksian Imran bin Husain
Imran bin Husain menyebut bahawa setiap kali bertembung dengan satu katibah (pasukan besar musuh), Bagindalah orang pertama yang menyerang. Bayangkan Nabi ﷺ merempuh satu pasukan tentera musuh. 3al-Syifa 1/116 4al-Syama'il al-Syarifah al-Munawi 1/220
ما لقي النبي صلى الله عليه وسلم كتيبة إلا كان أول من يضرب
3. Nabi ﷺ menyerang dan membunuh musuh — Ubay bin Khalaf
Dalam Perang Uhud, Ubay bin Khalaf menyerbu ke arah Nabi ﷺ. Baginda mengambil tombak daripada al-Harith bin al-Simmah dan menghayunnya dengan kekuatan penuh sehingga sahabat di sekeliling tercampak. Ini juga disebut al-Maqrizi. 5Maghazi al-Waqidi 1/252 6Imta' al-Asma' 1/155
Tombak itu mengenai leher Ubay — al-Salihi menyebut tulang selangka. Dalam riwayat Ibn Hisham, Ubay jatuh dari kudanya berguling beberapa kali. 7Sirah Ibn Hisham 2/84
ثم استقبله فطعنه في عنقه طعنة تدأدأ منها عن فرسه مرارا
Lukanya kecil sahaja dan dia tidak terus mati. Kawan-kawannya meyakinkan tiada apa yang perlu dirisaukan, tetapi Ubay merasa sakit yang amat sangat sehingga berkata, jika sakit itu ditimpakan kepada seluruh penduduk Dzul Majaz, mereka semua pasti mati. Ubay akhirnya mati dalam perjalanan pulang ke Makkah — Ibn Hisham menyebut di Sarif.
4. Nabi ﷺ memanah dan melempar batu — kesaksian al-Miqdad
Ketika Uhud berkecamuk, al-Miqdad bin Amr menyaksikan Rasulullah ﷺ tidak berganjak sedikit pun dari tempatnya, menghadap musuh. Baginda memanah dengan busurnya, dan apabila tidak memanah, Baginda melempar batu. 8Dala'il al-Nubuwwah al-Baihaqi 3/264
والذي بعثه بالحق إن زال رسول الله صلى الله عليه وسلم شبرا واحدا، إنه لفي وجه العدو، وتثوب إليه طائفة من أصحابه مرة، وتفرق عنه مرة، فربما رأيته قائما يرمي على قوسيه، ويرمي بالحجر، حتى تحاجزوا
5. Orang lain berundur, Nabi ﷺ tidak
Dalam Perang Hunain, ketika ramai sahabat berundur, Nabi ﷺ malah mara menaiki baghal putihnya. Apabila dikepung musuh, Baginda turun dari baghal sambil bersabda:
أنا النبي لا كذب … أنا ابن عبد المطلب
“Aku Nabi, tidak berdusta; aku anak Abdul Muttalib!”
Yang menyaksikannya antaranya al-Bara’, al-Abbas dan Abu Sufyan bin al-Harith (sepupu Nabi ﷺ — bukan Abu Sufyan bin Harb). 9Sahih al-Bukhari no. 2864 2Sahih Muslim no. 1776 10Tarikh al-Tabari 3/76
Penutup
Banyak lagi momen keberanian Nabi ﷺ, termasuk di luar perang. Kekuatan Baginda melebihi manusia biasa, tetapi tidak bermakna Baginda kebal — Baginda berdarah dan cedera teruk di Uhud. Para sahabat juga ramai yang luar biasa kuat, dan mereka juga terluka dalam setiap peperangan.
Pada saya, Nabi ﷺ bukan sekadar kuat dan berani, bahkan menunjukkannya di medan perang untuk dicontohi sahabat.
Apabila Baginda berperang, memukul atau membunuh sekalipun, tidak bermakna Baginda tidak ihsan. Menurut Qadhi Iyadh, riwayat bahawa Nabi ﷺ tidak pernah memukul sesuatu dengan tangannya mempunyai konteks — ketika aman, terhadap yang bukan musuh. Dalam perang, Baginda bertempur melawan musuh. 11Syarh al-Syifa 1/266
Ihsan seorang Nabi perlu dilihat mengikut konteks. Jika belas kasihan sepanjang masa tanpa mengira keadaan, tidak akan ada perang dan sariyah.
Wallahua’lam.
Rujukan
- Uyun al-Athar 2/399
- Sahih Muslim no. 1776
- al-Syifa 1/116
- al-Syama'il al-Syarifah al-Munawi 1/220
- Maghazi al-Waqidi 1/252
- Imta' al-Asma' 1/155
- Sirah Ibn Hisham 2/84
- Dala'il al-Nubuwwah al-Baihaqi 3/264
- Sahih al-Bukhari no. 2864
- Tarikh al-Tabari 3/76
- Syarh al-Syifa 1/266
Nombor jilid dan halaman mengikut cetakan yang disenaraikan dalam kaedah rujukan. Nombor hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim mengikut penomboran Fu'ad Abd al-Baqi / Fath al-Bari.