Benarkah Abu Bakar "Bapak Ceti" dan Umar al-Khattab Kaki Zina Ketika Jahiliah?
Abu Bakar bukan pemberi hutang riba tetapi pemegang urusan al-Asynaq — penjamin diat untuk mendamaikan kabilah. Umar pula duta (al-Sifarah) Quraisy, bukan lelaki berfoya-foya.
Tersebar video ceramah yang menyebut dua sahabat Nabi ﷺ yang mulia — sekaligus khalifah agung umat Islam — dengan tohmahan dan contoh yang saya kira tidak patut diungkapkan.
Sebelum menjawab: saya bukan ahli politik mana-mana parti, saya tidak kenal penceramah, dan saya hanya menjawab atas dasar pencinta dan pengkaji sirah. Penceramah pasti ada ilmu dan jasa tersendiri; saya hanya mengulas kenyataan berkaitan sirah.
Dakwaan 1: Abu Bakar “bapak ceti” zaman jahiliah
“Saidina Abu Bakar adalah bapa ceti. Bapa ceti zaman jahiliah. Dia kaya kerana dia peras orang-orang miskin zaman jahiliah.”
Ada dua dakwaan sekaligus: Abu Bakar bapak ceti, dan Abu Bakar kaya kerana memeras orang miskin.
Mengikut DBP, ceti ialah orang yang meminjamkan wang dengan bunga yang tinggi. “Bapak ceti” boleh difahami sebagai tokoh besar dalam memberi hutang berbunga tinggi.
Benarkah Abu Bakar begitu? Tidak, salah sama sekali.
Meminjamkan wang dengan riba memang makruf pada zaman jahiliah. Antara yang terkenal dengan transaksi begini ialah kabilah Thaqif dan Bani Makhzum. Al-Abbas bin Abdul Muttalib juga pernah terlibat sehingga riba beliau dibatalkan Nabi ﷺ dalam Khutbah Wada’:
وربا الجاهلية موضوع، وأول ربا أضع ربانا ربا عباس بن عبد المطلب؛ فإنه موضوع كله
“Riba jahiliah dihapuskan. Dan riba pertama yang aku hapuskan daripada riba kami ialah riba al-Abbas bin Abdul Muttalib. Sesungguhnya ia dihapuskan semuanya.” 1Sahih Muslim no. 1218
Pernah terlibat pun tidak bermaksud “bapak ceti”. Dan Abu Bakar bukan salah seorang daripada mereka.
Salah faham tentang al-Asynaq
Saya berpandangan penceramah tersalah faham antara pemberi hutang berriba dengan istilah al-Asynaq (الأشناق). Abu Bakar pada zaman jahiliah sangat terkenal sebagai pemegang urusan al-Asynaq dan hamalah — seluruh Quraisy tahu. Ini bukan pemberi hutang, bukan ceti haram atau Ah Long. Ia sebahagian sistem sosial penting Arab Makkah sejak zaman Qusai bin Kilab.
Bahasa mudahnya: jika berlaku pembunuhan, kecederaan, perang kecil atau pertelingkahan antara kabilah, ia boleh berlarutan menjadi perang saudara — darah dibalas darah, dendam diwarisi. Maka mereka memerlukan sistem pampasan untuk memadamkan api permusuhan. Pampasan itu disebut diat; ganti rugi lain disebut maghram. Orang yang menanggung atau mengurus bayaran besar untuk mendamaikan pihak bertelagah disebut melakukan hamalah, atau al-Asynaq.
Dalam Bani Taim, Abu Bakar ialah tokoh yang paling dipercayai Quraisy dalam urusan ini. Jika Abu Bakar berkata, “Saya tanggung bayaran mereka,” lalu meminta sokongan, Quraisy akan terus percaya. Jika orang lain cuba melakukannya, belum tentu. 2al-'Iqd al-Farid 3/267 3al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabl al-Islam 9/248
Jadi Abu Bakar ialah penanggung dan penjamin ganti rugi orang lain supaya tidak tercetus perang — jauh sekali daripada pemberi hutang yang menindas dengan riba. Untuk memahami isu ini kita perlu faham sosiologi Arab jahiliah.
Dakwaan 2: Abu Bakar kaya kerana memeras orang miskin
Jika sudah faham al-Asynaq, jelas Abu Bakar tidak kaya kerana memeras orang miskin. Orang miskin pun berapa sangat hartanya; diperas pun takkan menjadikan seseorang kaya. Abu Bakar malah membela orang miskin yang terlibat dalam pergaduhan atau diat. Untuk menjadi penjamin, seseorang mestilah sendiri kaya — “financially stable”.
Dari mana kekayaannya? Imam Ibn Hisham menyebut jelas dalam bab keislaman Abu Bakar:
وكان رجلا تاجرا، ذا خلق ومعروف، وكان رجال قومه يأتونه ويألفونه لغير واحد من الأمر، لعلمه وتجارته وحسن مجالسته
“Beliau seorang peniaga yang berakhlak dan terkenal dengan kebajikan. Lelaki kaumnya sentiasa datang dan rapat dengannya kerana lebih daripada satu sebab: ilmunya, perniagaannya, dan keindahan majlisnya.” 4Sirah Ibn Hisham 1/250
Teks ini juga menunjukkan Abu Bakar disenangi ramai sejak jahiliah. Pada pengamatan saya, akhlak Abu Bakar tidak kurang hebatnya berbanding Nabi ﷺ sebelum menerima wahyu; kedua-duanya terkenal dan dihormati di Makkah.
Abu Bakar seorang saudagar
Abu Bakar berniaga ke serata tempat sejak jahiliah, sama seperti Nabi ﷺ. Bukan hanya keluarga Nabi ﷺ yang berulang-alik ke Busra di Syam; Abu Bakar juga. Setahun dua sebelum Nabi ﷺ wafat pun Abu Bakar masih ke Busra untuk berniaga (rujuk Musnad Ahmad).
Selepas menjadi khalifah, antara kerisauan Abu Bakar ialah tidak dapat berniaga kerana sibuk mengurus kaum Muslimin, sehingga keluarganya terpaksa makan daripada Baitulmal:
لقد علم قومي أن حرفتي لم تكن تعجز عن مؤونة أهلي، وشغلت بأمر المسلمين، فسيأكل آل أبي بكر من هذا المال، ويحترف للمسلمين فيه
“Sesungguhnya kaumku tahu bahawa pekerjaanku dahulu tidak pernah lemah daripada menanggung keluargaku. Namun aku kini disibukkan dengan urusan kaum Muslimin. Maka keluarga Abu Bakar akan makan daripada harta ini, dan Abu Bakar akan bekerja untuk kaum Muslimin sebagai gantinya.” 5Sahih al-Bukhari no. 2070
Konteksnya ada dalam riwayat Ibn Sa’d: selepas dilantik, Umar dan Abu Ubaidah melihat Abu Bakar berjalan di pasar memikul timbunan kain. Umar menegur, dan Abu Bakar menjawab, “Habis, bagaimana aku hendak memberi makan keluargaku?” Barulah beliau diberi peruntukan Baitulmal. 6al-Tabaqat al-Kubra 3/168 Jadi Abu Bakar seorang saudagar kain.
Sekaya mana Abu Bakar?
Menurut Imam Ibn al-Athir, ketika memeluk Islam Abu Bakar memiliki 40,000 lalu menyumbangkannya untuk Islam. 7al-Kamil fi al-Tarikh 2/264 8Nihayah al-Arab 19/13 9Siyar A'lam al-Nubala' 2/356
Kedua-duanya tetap jumlah besar, untuk zaman itu dan zaman sekarang.
Dakwaan 3: Umar al-Khattab kaki zina
“Saidina Umar. Isteri orang, siapa-siapa yang cantik di Mekah al-Mukarramah kalau dia nak dia pergi ambil… Zina ini hobi dia.”
Sepanjang menekuni sirah, saya belum pernah menemui riwayat — sama ada yang jelas (sarih) atau petunjuk (qarinah) — yang menggambarkan Umar sebagai “playboy jahiliah”. Jika dakwaan terhadap Abu Bakar tadi lahir daripada salah faham, dakwaan terhadap Umar ini lebih jauh tersasar.
Pelacuran memang wujud pada zaman jahiliah (perbahasannya panjang), tetapi Umar tidak dikenali sebagai lelaki berfoya-foya.
Umar ketika jahiliah bukan calang-calang pemuda. Beliau memegang urusan al-Sifarah — bahasa modennya, diplomat Quraisy. Jika kabilah bertelagah atau berperang dengan kabilah lain, Umar dihantar sebagai wakil untuk berunding, berhujah dan membawa maruah Quraisy. Beliau petah, pakar nasab seperti Abu Bakar, dan luar biasa berani. Jika al-Asynaq bersifat damai, al-Sifarah melibatkan konflik tegang dan pertembungan hujah. Apabila Umar masuk campur, biasanya orang reda dan menerima kata-katanya. 10al-Isti'ab 5/78
Menariknya, penceramah menyebut riwayat bahawa syaitan pun takut kepada Umar. Riwayat penuhnya: Umar mahu bertemu Nabi ﷺ ketika Baginda dikunjungi beberapa wanita yang bertanya soalan. Apabila Umar masuk, semua wanita itu lari ke belakang tabir sehingga Nabi ﷺ ketawa. Salah seorang berkata:
أنت أفظ وأغلظ من رسول الله صلى الله عليه وسلم
“Engkau lebih keras dan tegas daripada Rasulullah ﷺ!” 11Sahih al-Bukhari no. 3294
Wanita pun masih “seriau” dengan Umar walaupun sudah Islam. Tidak kena langsung mengaitkan Umar dengan watak buaya darat, apatah lagi zina sebagai kebiasaan.
Akhir kalam
Saya faham mesej utama penceramah: walaupun sebahagian sahabat ada melakukan perkara tidak baik pada zaman jahiliah, apabila masuk Islam mereka berubah menjadi insan mulia. Saya setuju; itu bagus disebut.
Tetapi kita mesti berhati-hati menukil “kisah silam” sahabat. Fahami betul-betul konteks dan nuansa setiap istilah dalam naratif sirah. Ia tidak boleh difahami secara literal atau ditakwil sesuka hati kerana sangat berkait dengan sosio-budaya Arab zaman itu.
Jika benar ada riwayat, pendakwa perlu membawa sumbernya. Saya tiada masalah menarik balik jika memang ada — saya memang mengumpul riwayat sirah yang jarang ditemui, dan sangat gembira jika ada yang sudi berkongsi.
Hari-hari saya di kampung hanyalah mengajar sirah, mengkaji sirah, menulis tentang sirah dan mengembala kambing. Tulisan ini untuk menjawab isu sirah semata-mata, bukan untuk memenangkan mana-mana parti.
Rujukan
- Sahih Muslim no. 1218
- al-'Iqd al-Farid 3/267
- al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabl al-Islam 9/248
- Sirah Ibn Hisham 1/250
- Sahih al-Bukhari no. 2070
- al-Tabaqat al-Kubra 3/168
- al-Kamil fi al-Tarikh 2/264
- Nihayah al-Arab 19/13
- Siyar A'lam al-Nubala' 2/356
- al-Isti'ab 5/78
- Sahih al-Bukhari no. 3294
Nombor jilid dan halaman mengikut cetakan yang disenaraikan dalam kaedah rujukan. Nombor hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim mengikut penomboran Fu'ad Abd al-Baqi / Fath al-Bari.