Langkau ke kandungan
Simply SirahSirah Bukan Sekadar Cerita

Renungan

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan Hubungannya dengan Sirah

Pasar-pasar Arab jahiliah seperti Ukaz bukan sekadar tempat jual beli — ia festival tahunan untuk dagangan, rangkaian, syair dan pengumuman, mirip pesta buku hari ini.

Penulis
Addien Abdul Kadir
Diterbitkan
Bacaan
2 minit
Rujukan
0

PBAKL hanya berlaku setahun sekali. Ia umpama “syurga” bagi pencinta buku — pembaca, penerbit dan penjual. Membeli buku di pesta buku tidak sama “vibe”, pengalaman dan memorinya.

Lebih menarik, pesta buku bukan tempat jual beli semata-mata. Di sinilah kita berjumpa kenalan lama, menambah kenalan baru dan membina hubungan — perniagaan, akademik atau apa sahaja. Sepanjang pesta penuh dengan persembahan di pentas utama dan pengisian di segenap sudut dewan. Pesta buku lebih besar daripada buku.

Jadi apa kaitannya dengan sirah? Zaman Nabi ﷺ mana ada pesta buku! Tiada riwayat tentangnya!

Sabar dulu. Bukan semua tentang sirah sumbernya daripada riwayat.

Ekonomi Arab jahiliah

Antara aspek penting sirah ialah sosiologi bangsa Arab, terutama era jahiliah. Kita tahu Nabi Muhammad ﷺ seorang pedagang, tetapi kitab sirah tidak banyak menyebut ke mana Baginda berdagang — bab ini boleh dibahaskan panjang, tetapi bukan di sini.

Dari sudut ekonomi, orang Arab sudah mempunyai sistem dan dunia perniagaan jauh lebih lama sebelum Nabi ﷺ lahir. Telah wujud banyak pasar Arab di seluruh Jazirah. Perbahasan tentang pasar-pasar ini biasanya tidak ditemui jika hanya berpada dengan kitab sirah dan riwayat hadis.

Yang paling masyhur ialah Pasar Ukaz. Tapaknya masih ada dan dijaga kerajaan Saudi — antara lokasi kajian sirah kami. Ukaz bukan satu-satunya pasar jahiliah, tetapi yang paling meriah dan besar pada zaman itu.

Ukaz: pesta tahunan

Ukaz mirip sekali dengan pesta buku antarabangsa. Ia bukan seperti pasar malam mingguan, dan bukan seperti kedai yang buka setiap hari. Apabila tempohnya tamat, pasar Arab itu berpindah ke pasar seterusnya, beredar ke seluruh Jazirah. Tahun berikutnya barulah ada Ukaz lagi — setahun sekali, seperti festival zaman moden.

Pasar Arab jahiliah juga bukan sekadar tempat berdagang. Di sinilah pedagang membina hubungan dengan pedagang dari pelbagai negeri — Arab, Syam, Habsyah, Iraq, bahkan Rom dan Parsi. Di sini juga berkumpul penyair untuk menunjukkan bakat, menghiburkan orang ramai, bahkan menyampaikan amaran. Inilah tempat paling besar dan strategik untuk menyampaikan mesej kepada umum — sama seperti pesta buku moden, malah lebih gah.

Sirah ilmu yang hidup

Persoalannya: untuk memahami sirah, cukupkah membaca kitab sirah dan riwayat hadis sahaja?

Saya tidak berfikir begitu. Ilmu sirah masih banyak yang boleh dikembangkan, diteroka dan diberi nafas baru — tidak hanya terikat dengan kerangka kitab sirah. Saya tidak bersetuju dengan pihak yang menyangka ilmu sirah sudah selesai dan tidak perlu dikaji lagi.

Sebagaimana fiqh, tafsir dan hadis terus dikaji dan berkembang dengan ijtihad baru, sirah juga begitu. Ilmu sirah ialah ilmu yang hidup — apatah lagi sirah Nabi ﷺ sangat banyak pelajaran dan kaitannya dengan kehidupan kita hari ini.

Bacaan berkaitan

Renungan

Hari Guru dan Sirah Nabi ﷺ

Mu'awiyah bin al-Hakam tersalah bercakap dalam solat. Cara Nabi ﷺ menegurnya membuatkan beliau berkata tidak pernah melihat guru sebaik Baginda.

Addien Abdul Kadir 1 rujukan